SEBAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR
KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI)
TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulaikan
Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal
boleh dibagikan kepada dua jenis yaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau
suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh
melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan
perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeda antara
seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana
hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati
dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga
kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar
kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap
kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa
sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t
tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan
amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk
tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi
perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang separti ini tidak
membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh siapa dan sesuatu. Apa saja yang mengenai
Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh karena itu
orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan
Allah s.w.t atau „memaksa‟ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan
makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di
belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan
seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang
berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mau pun yang batin.
Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari
faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang
mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahwa
amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di
akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau
kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan
semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu
bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri
apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang
dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada
hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika
kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan
pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepadaNya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf
dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan
Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahwa
orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau
dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat
hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang
diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.
Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima
pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya
selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya,
walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang
demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak
sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahwa apabila mereka sandarkan segala
perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan
tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada
Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeda. Pergantungan mereka hanya
tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha.
Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan
yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika
ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil,
mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang
berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t
mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar
kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebagian orang Islam
juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang
kafir. Orang yang separti ini melakukan amalan karena kepentingan diri sendiri,
bukan karena Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu
dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia. Dia mengharapkan semoga amal
kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah
rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan
dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya.
Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebagian kaum muslimin yang lain
mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang
amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api
neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya
mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan
menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka senantiasa selasai
dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu
itu berlaku di luar jangkauan, mereka cepat panik dan gelisah. Bala bencana
membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka
bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan
itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi
ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang
bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri
dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi
tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t separti terbuka
hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya
kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian
dengan amal yang banyak dilakukannya separti berzikir, bersembahyang sunat,
berpuasa dan lain-lain. Bila dia tartinggal melakukan sesuatu amal yang biasa
dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia merasa
dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaian mendekatkan
dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasawuf.
Jadi, ada golongan yang bersandar
kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan
melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkahan amal
dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir,
yaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka bersalah
memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka
hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaian pula kuat bersandar
kepada amalan batin separti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tartinggal
melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka
tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan
anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada
amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu
batin. Ilmu zahir adalah ilmu penkehendakan dan pengurusan sesuatu perkara
menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan
gaib bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan
jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkahan kepada ayat, jampi dan usaha,
hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkahan kepada tiap
sesuatu itu. Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang
meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud
kalimat:
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat
itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini
tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun,
hatinya tetap melihat bahwa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya. Jika tidak karena taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak
ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku
bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya)
siapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan siapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah
kepada Allah), karena sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. (
Ayat 40 : Surah anNaml )
Dan tiadalah kamu berkemauan
(melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan
sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan siapa yang kehendaki-Nya
(menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di
dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab
seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini
melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya
keberkahan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini
dinamakan makam ariffin yaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini
tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan
amal ibadat. Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, rido dengan segala yang
ditentukan Allah s.w.t, akan senantiasa tenang, tidak berdukacita bila
kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai
penyebab atau pengeluar kesan. Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang
itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai
kendaraan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia
beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila
dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mulai berubah.
Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih
kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah
s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya.
Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan
mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba
kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan
Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
meliputi segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang senantiasa
memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat
kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Sumber : Kitab Al-Hikam Syaikh Ibn Athaillah
Mantapz
BalasHapus